BERKAT REZEKI KERANA SEDEKAH

25/02/2010 10:34

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya

keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak

dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan akan dirasakan sempit dan

susah meskipun banyak harta.

 

        Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub ketika sedang mandi

        tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di

        lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya. Lantas Allah

       berfirman 'Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih

        kaya?' Nabi Ayub mejawab 'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna

        kekayaan tanpa keberkatanMu'. Kisah ini menegaskan betapa pentingnya

        keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah.

 

        Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah.

 

        1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah. 

 

        2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

 

        3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal

 

        4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan

        sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

 

        5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari. (cari

        anak-anak yatim untuk diberikan). Insyallah akan diganti oleh Allah tanpa

        kita sedari.

 

        6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kepada Allah bukan

        mengharapkan pujian dan sebagainya. (Pemberian tangan kanan tanpa

        diketahui tangan kiri). Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu

        selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh. Jangan

        anggap pemberian itu hak kita sebenarnya dalam harta kita ada hak

        mereka.

 

        7. Hulurkan pemberian sunat secara rahsia - tetapi pemberian wajib

        (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

 

        8. Konsep sedekah : berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas dalam

        ayat Quran Ali Imran ayat 92

 

        9. Cari harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat. (Dunia untuk akhirat

        - bukan dunia untuk dunia)

 

        10. Amalan yang diberkati ialah hasil peluh sendiri dan juga melalui

        jualbeli (perniagaan). Menurut Nabi 9/10 (90%) daripada sumber rezeki

        ialah berpunca daripada perniagaan. Makan gaji mungkin 1/10 sahaja

        (10%). Nabi Muhammad sendiri sebelum diutus menjadi rasul adalah

        seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah. Peniaga yang

        amanah akan dibangkitkan bersama para nabi dan rasul di akhirat kelak.

        Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah. Barang makanan orang

        Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada

        menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam berdosa.

 

        11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami. 

 

        Dalam satu hadith, Nabi menerangkan setiap awal pagi, semasa terbit

        matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi. Yang satu

        menyeru 'Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang

        membelanjakan hartanya kerana Allah. Yang satu lagi menyeru

        'Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)'

 

        Orang yang bakhil tidak manfaatkan hartanya untuk dunia dan

        akhiratnya. Menginfaqkan (Belanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya

        menahannya adalah celaka. Dalam hadith lain, nabi bersabda takutilah

        api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar. Dan sabdanya lagi

        Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api.

 

        Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah. Dan

        digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

 

        Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insyallah rezeki yang

        dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan. Allah akan

        membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan. Amalkan ilmu

        yang ada, nanti Allah akan menambahkan ilmu lagi. Begitu juga harta -

        belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang

        kita tidak ketahui.

 

        Sekian, wallahualam. Semoga yang baik datang daripada Allah dan yang

        buruk dari kesilapan sendiri. 

 

Back

Search site

Photo used under Creative Commons from John-Morgan  © 2010 All rights reserved.